Mari Belajar Rekoder

Oleh : Barlian Ana Mohamad




Sejarah Rekoder





Rekoder merupakan alat tiupan kayu yang tertua. Ia mula dimainkan semenjak Zaman Baroque dalam sejarah muzik klasikal barat. Pada zaman Pertengahan Eropah ataupun "medieval", rekoder adalah alat muzik yang popular. Namun demikian, populariti alat muzik ini mula menurun di abad ke 18 disebabkan terciptanya alat tiupan orkestra seperti oboe, klarinet dan flute yang boleh memainkan "range" not yang lebih bervariasi dan luas berbanding rekoder.


Pada zaman kegemilangannya, rekoder sering digunakan dalam persembahan orkestra untuk  menggambarkan burung-burung berkicauan, pengembala kambing, pengkebumian dan perkahwinan. Banyak karya komposer terkenal pada zaman Baroque seperti Bach dan Vivaldi menggunakan rekoder sebagai alat utama untuk seksyen alat tiupan.


Pada abad ke 20, rekoder digunakan dalam sistem pengajaran muzik di sekolah kerana ia adalah alat yang mudah untuk dimainkan dan harganya murah berbanding dengan alat-alat muzik yang lain. Oleh itu, ramai yang beranggapan bahawa rekoder hanyalah sekadar alat permainan kanak-kanak. Pendapat ini adalah salah kerana rekoder adalah alat muzik  yang dipersembahkan dalam konsert berprestij oleh pemuzik profesional di merata tempat sama ada secara   solo atau ensembel terutamanya di negara-negara barat.







Jenis Rekoder

Tahukah anda rekoder mempunyai 2 jenis iaitu Rekoder Baroque dan Rekoder German. Bagaimana untuk membezakan kedua-dua rekoder ini? Jawapannya mudah. Walaupun secara fizikalnya bentuk mereka serupa tetapi terdapat sedikit perbezaan dalam lubang penjarian. Anda juga boleh membezakannya kerana di lubang belakang tertulis huruf B untuk rekoder Baroque dan huruf G untuk rekoder German. Di sini saya kongsikan gambar perbezaan kedua-dua rekoder ini.


Perbezaan saiz lubang rekoder German & Baroque




Keluarga Rekoder


Sebelum anda mula belajar rekoder, mari kita berkenalan dengan keluarganya terlebih dahulu. Keluarga rekoder terdiri daripada Sopranino, Soprano, Alto, Tenor dan Bass. 


Dari kiri : Sopranino, Soprano, Alto, Tenor dan Bass


Rekoder yang digunakan dalam pembelajaran di sekolah rendah ialah rekoder Soprano. Setiap satu dari rekoder yang saya sebutkan tadi mempunyai 'range' yang berbeza. Soprano merupakan rekoder yang ditulis dalam not C tengah. Ianya lebih mudah dipelajari jika diambil kira tentang saiz. Jadi kepada anda yang baru hendak berjinak-jinak untuk bermain rekoder, cubalah rekoder Soprano sebelum beralih ke jenis rekoder yang lain.


Bahagian Rekoder


Secara umumnya rekoder mempunya 3 bahagian iaitu bahagian atas, tengah dan bawah.




Pernafasan


Sebelum anda ingin belajar rekoder, adalah penting jika anda belajar teknik pernafasan yang betul kerana ianya sangat penting dalam mempelajari alat-alat muzik tiupan. Disini saya kongsikan sebuah video tentang teknik pernafasan yang betul agar anda dapat memahaminya dengan lebih mudah.



Sumber dari : monkeysee.com



Selain itu, terdapat beberapa jenis gambar latihan pernafasan yang boleh anda praktikkan. Perhatikan gambar Latihan Pernafasan 1. Gunakan sebarang objek dan diletakkan di bahagian abdomen. Cubalah bernafas seperti biasa. Apabila nafas ditarik, bahagian abdomen akan lebih tinggi dari bahagian dada. Objek yang diletakkan di bahagian abdomen akan terangkat ke atas apabila nafas ditarik dan akan turun apabila nafas dihembus. Sekiranya situasi sebaliknya berlaku, ulang latihan tersebut beberapa kali sehingga anda mendapat teknik yang betul. Selamat mencuba.








Bagaimana? Adakah anda telah menguasai teknik pernafasan dengan betul? Apa kata anda cuba Latihan Pernafasan 2 pula. Anda hanya perlukan sehelai kertas untuk latihan ini. Tarik nafas perlahan-lahan dan hembus ke arah kertas. 






Perlidahan


Perlidahan adalah sangat penting dalam menghasilkan ton yang baik. Sebutan 'tu' dan 'du' antara sebutan yang dapat menghasilkan teknik perlidahan yang baik. Pada pertengahan frasa,lazimnya sebutan 'tu' atau 'du' digunakan. Pada akhir frasa pula, sebutan 'tud'/'tu__ud' atau 'dud'/'du__ud' akan digunakan.



Embouchure


Embouchure ialah cara pemain meletakkan 'mouth piece' ke atas bibir. Cara yang betul ialah memasukkan bibir ke dalam. Kemudian letakkan 'mouth piece ke atas bibir bawah. Kepit 'mouth piece' dengan bibir atas. Ingat, jangan sesekali menggigit 'mouth piece'. Ianya bukan sahaja merupakan teknik yang salah, malah ianya akan merosakkan rekoder anda. 





Postur


Postur sangat penting dalam permainan alat-alat muzik tiupan terutamanya. Perkara yang paling utama ialah kedudukan pemain haruslah dalam keadaan yang selesa. Jika pemain berdiri, kaki haruslah dibuka sedikit dan sebelah kaki berada ke depan sedikit untuk tujuan imbangan. Badan haruslah tegak agak mudah untuk bernafas. Jika bermain rekoder dalam keadaan duduk, elakkan dari bersandar. Jangn menyilang kaki. Duduk dengan tegak dan renggangkan kaki agar lebih selesa. Sila rujuk gambar di bawah.







Asas Penjarian Rekoder


Penjarian rekoder haruslah  bermula dengan tangan kiri terlebih dahulu. Cara mudah untuk belajar penjarian rekoder adalah dengan menamakan setiap jari dengan nombor.

0 - Ibu jari kiri
1 - Jari telunjuk kiri
2- Jari hantu kiri
3 - Jari manis kiri
4 - Jari telunjuk kanan
5 - Jari hantu kanan
6 - Jari manis kanan
7 - Jari kelingking kanan






Penjarian Mengikut Not


Disini saya sertakan penjarian rekoder bagi not-not mudah terlebih dahulu seperti  Not D', C', B, A, G, F dan E. 

















Ensembel Rekoder



Alat muzik rekoder seringkali dianggap alat muzik tiupan yang paling mudah untuk dipelajari. Ia juga sering dianggap alat muzik kanak-kanak bagi segelintir pihak. Sebenarnya alat muzik rekoder tidak kurang hebatnya dengan alat-alat muzik tiupan yang lain. Di negara-negara barat, terdapat komuniti muzik yang sering membuat persembahan rekoder dalam bentuk ensembel. Namun di Malaysia, persembahan ensembel rekoder masih tertumpu kepada pelajar-pelajar sekolah rendah. Mari kita lihat contoh ensembel rekoder dari pelajar-pelajar sekolah rendah.



Sumber dari : Pasukan Ensembel Rekoder SK Tun Hussein Onn, Kg Pandan, KL













Comments

Popular posts from this blog

Pengenalan Alat Muzik Brass

Lagu Dan Permainan Kanak-kanak Thailand